esplanadesgrejangheader

Sungai Rejang merupakan sungai yang terpanjang di Malaysia. Sarikei Esplanade Sungai Rejang sepanjang lebih kurang 2000 kaki dihiasi dan dilengkapi dengan landskap yang bagus dan menarik.  Esplane Sungai Rejang berjarak daripada Pangkalan Lembaga Air Rejang, Terminal Express 1 sehingga Terminal Express 2. Penduduk yang ingin berjalan kaki daripada Terminal 1 ke Terminal 2 dapat menggunakan laluan Esplanade yang telah disediakan. Anda boleh mencari perlindungan dari matahari di bawah kanopi pokok dan pohon tropika, bersantai di kerusi bertema kan batang pokok dan menikmati pukulan angin yang lembut sambil melihat aktiviti air. Terdapat hiasan flora seperti pokok-pokok rendah dan tinggi menutupi matahari menjadikan tempat tersebut redup untuk berteduh dan fauna seperti siulan burung-burung. Esplanade Sungai Rejang dibuka pada September 1, 1991.

Pada pertengahan 70-60an, Esplanade Sungai Rejang merupakan satu-satunya taman permainan di bandar (kini dirobohkan) untuk keluarga beriadah dan kanak-kanak bermain  pada waktu petang. Terdapat beberapa permainan yang agak menarik di Esplanade ini contohnya adalah kapal terbang, "merry go around", sarang labah-labah, buaian dan jongkang-jongkit. Semua permainan tersebut telah dirobohkan atas sebab membahayakan kerana telah rosak dan bakal mengundang bahaya kepada pengguna. Dibahagian hujung kiri baru-baru ini telah disediakan beberapa kemudahan untuk bersenam.

esplanadesgrejang

Sebelum Jambatan Sibu dibina, Terminal Express 1 dan 2 adalah pengangkutan utama untuk warga Sarikei ke Rejang dan Tanjung Manis. Pengangkutan bot Express dan Speedboat amatlah terkenal pada masa itu. Tambang yang dikenakan pada masa itu adalah lebih kurang RM10.00 untuk seorang penumpang. Pemandangan Esplanade Sungai Rejang sering dipenuhi dengan bot-bot kecil dan besar berlabuh atau datang dan pergi.

Pada musim buah-buahan, sepanjang Esplanade akan menjadi sesak dan dipenuhi gerai-gerai menjual buah-buahan tempatan dan bermusim. Contoh-contoh buah yang laris dan terkenal adalah dabai, durian, manggis, longan, rambutan, mata kuching, dan lain-lain. Esplanade Sungai Rejang amat sesuai untuk berjalan-jalan beriadah dan melihat matahari terbenam. Sesiapa yang ingin mengambil gambar-gambar matahari terbenam amatlah digalakkan untuk pergi ke Esplanade Sungai Rejang kerana gambar yang diambil disana sangat cantik. 

 

esplanadenyelongheader

Sungai Nyelong pada masa dahulu diabaikan berbanding Sungai Rejang. Jika anda lama sudah tidak melawat ke Bahagian Sungai Nyelong Sarikei, anda akan sedar bahawa Sungai Nyelong telah berubah rupa menjadi tempat yang cantik dan sesuai untuk menjalankan aktiviti riadah atas jasa baik di bawah rancangan kerajaan untuk mencantikkan kawasan itu. Sebelum Jambatan Nyelong dibina, ramai penduduk akan menaiki Feri untuk menyeberang Sungai Nyelong untuk menghala ke Bintangor. Setiap hari akan berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut lebih-lebih lagi apabila musim perayaan kerana mereka terpaksa menunggu Feri bergilir ganti untuk tiba. Sekarang, perkhidmatan Feri tersebut telah dihentikan dan sepanjang tebing Sungai Nyelong telah diubah suai dan dihiasi dengan pondok-pondok, kerusi, taman permainan, tanda mercu, pohon-pohon rendah, dan tandas awam. 

esplanadenyelong

Dahulu terdapat gerai-gerai kecil yang dibina untuk usahawan berniaga di sana untuk menarik lebih ramai melawati tempat tersebut tetapi dirobohkan oleh kerana tidak dapat kebenaran untuk membina di sana. Sarikei Esplanade Sungai Nyelong adalah tempat yang sesuai untuk keluarga dan pasangan untuk beriadah waktu petang sambil menikmati suasana sungai dan juga pemandangan matahari terbenam. Terdapat juga orang yang datang ke sini untuk bersenam dan berjogging. Sungai Nyelong juga kaya dengan hasil ikan-ikan menjadikan tempat ini tarikan untuk kaki-kaki pancing.

 

sebangkoiresortheader

Resort Taman Sebangkoi terletak kira-kira 30 kilometer  dari Sarikei dan ia adalah hutan pada masa dahulu tetapi telah di naik taraf oleh pengusaha untuk menarik pelancong-pelancong dari serata daerah untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan pergi bercuti. Sebangkoi Resort terletak betul-betul di sebelah kanan Taman Rimba Sebangkoi menjadikan ia tempat yang sesuai untuk pelancong pergi kerana terdapat pelbagai aktivi dapat dilaksanakan disana seperti 'jungle trekking", "BBQ", mandi-manda, bersuka ria dan dll. Sebangkoi Resort mempunyai pondok pengawal yang dibina menyerupai sebuah batu yang besar untuk kelihatan lebih berbeza daripada resort-resort lain. Keselamatan pelancong yang tinggal di resort ini amatlah diutamakan oleh itu, pagar utama akan ditutup dan dikunci pada jam 9.00 malam melainkan anda membuat pesanan dengan kakitangan resort tersebut. 

Terdapat dua jenis bilik disediakan oleh Sebangkoi Resort iaitu 4 bilik jenis asrama yang dapat menampung sebanyak 20 orang di katil dua tingkat dan kos untuk seorang adalah RM 18 semalam. Jenis bilik yang kedua adalah 2 suite yang mempunyai tiga bilik tidur dan ruang tamu. Bilik suite boleh menampung sehingga 7 orang dan kos bilik tersebut adalah RM 280 semalam. Ia dilengkapi dengan penghawa dingin sepenuhnya, meja makan, TV (Astro), sofa dan peti sejuk mini yang anda boleh gunakan untuk menyimpan makanan dan minuman. Bilik suite mempunyai pintu  kaca yang mencerminkan flora dan fauna sekitar Sebangkoi  Resort dan juga Taman Rimba Sebangkoi. Pemandangan pohon-pohon dan bukit-bukau yang menghijau di sekitar tempat itu adalah mengagumkan. Dua daripada tiga bilik dilengkapi dengan katil bersaiz queen dan satu katil single manakala bilik lain hanya dilengkapi dengan satu katil single. Terdapat juga sebuah almari pakaian di setiap bilik. 

sebangkoiresort

Sebangkoi Country Resort juga mempunyai kemudahan BBQ, serta sebuah bilik persidangan yang boleh memuatkan sehingga 200 orang. Terdapat juga "PA System" yang boleh digunakan secara percuma jika anda menganjurkan acara dan sebagainya disana. Ditengah-tengah resort tersebut terdapat ruangan kantin untuk para pelancong membeli makanan dan minuman. Pelbagai jenis masakan goreng dihidang oleh pihak tukang masak resort itu jika anda tidak berniat untuk "BBQ" ataupun kelaparan. Ruangan kantin tersebut sangat luas dan dapat menampung orang yang ramai.

Sebangkoi Resort terletak di atas bukit jadi udaranya  agak sejuk dan segar diwaktu malam dan subuh. Ini juga memerlukan pembinaan tiang konkrit yang besar dan kukuh untuk menampung lanskap bukit-bukit. Terdapat laluan dan tangga yang tinggi jika anda pergi ke suite menggunakan pintu belakang tetapi akses depan adalah di atas tanah rata.Tempat ini sangat lah sesuai untuk para-para keluarga, kawan-kawan, pihak sekolah dan juga pencinta alam sekitar kerana kelilingi oleh hutan flora dan fauna yang sangat indah. Lokasi ini juga jauh daripada kesesakan bandar yang sesak dan udara yang dipenuhi oleh asap-asap kenderaan. 

 

tamantasikhead 

Terletak lebih kurang 1 km dari pusat Bandar Sarikei, terdapat taman yang menarik dengan kolam ikan yang luas, burung layang-layang yang berterbangan dan pemandangan yang indah. Sesuai untuk berjalan-jalan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Taman Tasik terdiri daripada keluasan sebanyak 3 hektar dan merupakan salah satu projek yang bermakna di Sarikei bagi penduduk dan juga menarik pelancong dari pelbagai daerah Sarawak. Ia dibuka pada Jun 1998 dan kos perbelajaan untuk membina Taman Tasik dianggar berjumlah sebanyak RM 1.4 juta. Pada asalnya ia adalah tanah kosong dengan tangki logam air yang tinggi dan besar bertentangan dengan Kediaman Residen Sarikei. Taman ini mengambil kesempatan daripada geografik bukit-bukit dan kehijauan pohon-pohon yang berusia, besar dan tinggi. Ia memberikan pencinta flora dan fauna peluang untuk melarikan diri daripada kesibukan kehidupan harian untuk berehat dan beriadah bersama keluarga atau bersama yang tercinta. 

Terdapat beberapa kemudahan awam yang terdapat di Taman Tasik iaitu beberapa pondok kecik berbentuk heksagon untuk pelawat berehat. Beberapa kepala paip yang mengeluarkan air bersih terdapat di sekitar taman tersebut. Laluan berjalan dilengkapi dengan pemukaan tar untuk keselesaan dan terdapat laluan batu-batu kecil bagi kegunaan mengurut tapak kaki membantu pengaliran darah lebih lancar dan melegakan kesan letih pada kaki. Di puncak bukit, terdapat Pondok Besar berfungsi seperti dewan untuk melakukan aktiviti-aktiviti beramai-ramai. Pondok tersebut dapat menampung sebanyak lebih kurang 50 orang. Bersebelahan Pondok Besar, berdirinya sebuah Jam Menara yang dibuat daripada kayu-kayu. Manakala dikaki bukit taman terdapat Podium atau stage disediakan untuk melakukan apa-apa aktiviti atau persembahan. Terdapat soket-soket elektrik juga disediakan untuk kemudahan memasang peralatan elektrik. Di tengah-tengah taman terdapat sebuah tasik yang besar dan ditengah-tengah tasik itu terdapat laluan titi kayu dan pulau yang kecil dilengkapi dengan penghadang berupa kayu. Terdapat banyak ikan-ikan Koi di dalam kolam dan pelawat dibenarkan memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut dengan makanan ikan yang disediakan dan dijual dengan harga RM0.50 sebungkus. Terdapat tandas awam disediakan dengan caj sebanyak RM0.20 seorang. 

tamantasik1 

Taman Tasik sering dipenuhi dengan mereka yang ingin bersenam di waktu pagi manakala di waktu petang dipenuhi dengan pengunjung yang ingin bersenam dan beriadah. Pada waktu pagi, terdapat warga-warga emas akan bersenam "Tai Chi" beramai-ramai di atas puncak bukit (Pondok Besar) di ikuti dengan yoga seterusnya dalam pukul 6 pagi hingga 8 pagi. Taman Tasik adalah tempat yang sesuai membawa keluarga atau pasangan untuk berehat dan menghabiskan masa bersama-sama. Tambahan, Taman Tasik amat terkenal dengan lokasi mengambil gambar-gambar kahwin atau pemandangan. 

 Jika anda sukakan makan malam dalam suasana yang baik dan bersebelahan dengan tasik, Taman Tasik mempunyai gerai-gerai penjaja yang kecil menyediakan masakan Melayu dan Cina. Gerai Melayu disana telah beroperasi dari dahulu lagi dan menyediakan masakan goreng-goreng seperti Mee Hoon, Kuew Tiau, Mee Goreng dan lain-lain yang sedap. 

Taman Tasik mungkin mempunyai nama-nama yang menarik dan modern seperti "Lake Park" tetapi untuk warga tempatan, ia nya lebih dikenali sebagai "Cui Ton Park" (Taman Tangki Air dalam Hokkien).

 

sebangkoihead

Sesiapa bertolak dari Sarikei ke Kuching ataupun Kuching ke Sarikei tidak akan terlepas untuk melalui Taman Rimba Sebangkoi. Taman tersebut menjadi tempat perhentian dan berehat pemandu yang berasa letih dan mengantuk. Mereka akan berhenti untuk mengambil udara yang segar atau tidur sebentar untuk menghilangkan rasa mengantuk sebelum meneruskan perjalanan. Kawasan seluas 50 hektar yang dikelilingi oleh Flora dan Fauna merupakan kawasan yang sesuai untuk menenangkan fikiran dan melarikan dari daripada tugasan harian dan kesesakan bandar. Terdapat pelbagai jenis spesies tumbuh-tumbuhan yang tumbuh sana termasuk hidupan liar seperti serangga-serangga kecil dan juga beberapa hidupan liar. Contoh haiwan-haiwan yang dapat dilihat seperti tupai, burung, rusa dll. Di sini terdapat air sungai mengalir yang bersih dan jernih, air terjun yang kecil, hijauan pokok-pokok besar menutupi lelangit dan udara yang segar. Aliran arus air yang tenang dan sejuk, menjadikan tempat ini sangat sesuai untuk berehat dan menjalankan aktiviti riadah seperti mandi manda ataupun "BBQ"  bersama keluarga dan kawan-kawan. 

sebangkoi

Kira-kira 15 ekar telah dibersihkan dan disediakan kemudahan moden seperti tempat memanggang, tong-tong sampah berbentuk seperti pohon, pondok rehat besar dan kecil, taman permainan kanak-kanak, jambatan kayu, rumah tumpangan serta tandas dan bilik persalinan. Taman Rimba Sebangkoi terletak sejauh 25 km daripada pusat bandar Sarikei mengambil masa kira-kira 1 jam pejalanan menjadikan ia tempat yang ideal untuk pergi berehat atau beriadah sehari ketika cuti umum ataupun hujung minggu bersama keluarga dan kawan-kawan. Manakala jarak dari Sibu ke sini kira-kira sejauh 75km. Terdapat beberapa tugu dibina seperti burung Kenyalang, patung kuda dan juga zirafah. Dihadapan taman tersebut terdapat sebuah pintu gerbang besar untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong ke sana. Tempat letak kereta yang luas telah disediakan dan dapat menampung jumlah kereta yang banyak.

sebangkoi2

Taman Rimba Sebangkoi mula diketahui pelawat dan pelancong sejak tahun 1960 atau lebih awal lagi. Ianya kemudian diubahsuai dan ditambah baik segala kemudahan asas-asas menjadi sebuah tarikan pelancong yang menarik pada 4 Mei 1991 sehingga sekarang. Taman ini mempunyai 50 ekar hutan dengan ciri-ciri bukit bukau yang curam, aliran air berbatu dan air terjun kecil mengalir ke kolam dalam yang sejuk. Disebabkan rupa bentuk air terjun yang sederhana tinggi dan juga kolam air yang dalam menjadikan ia tempat untuk para-para pelancong yang berani untuk terjun pelbagai cara dan gaya. Segala aksi-aksi yang dilakukan adalah atas tangungjawab sendiri kerana tiada pihak berkuasa yang menjaga tempat tersebut. Selain itu, terdapat sebuah jambatan dibini di tinggkat atas bahagian air terjun tersebut yang strategik untuk menjadi tempat mengambil gambar berlatarkan pemandangan pokok-pokok yang menghijau.