tamantasikhead 

Terletak lebih kurang 1 km dari pusat Bandar Sarikei, terdapat taman yang menarik dengan kolam ikan yang luas, burung layang-layang yang berterbangan dan pemandangan yang indah. Sesuai untuk berjalan-jalan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Taman Tasik terdiri daripada keluasan sebanyak 3 hektar dan merupakan salah satu projek yang bermakna di Sarikei bagi penduduk dan juga menarik pelancong dari pelbagai daerah Sarawak. Ia dibuka pada Jun 1998 dan kos perbelajaan untuk membina Taman Tasik dianggar berjumlah sebanyak RM 1.4 juta. Pada asalnya ia adalah tanah kosong dengan tangki logam air yang tinggi dan besar bertentangan dengan Kediaman Residen Sarikei. Taman ini mengambil kesempatan daripada geografik bukit-bukit dan kehijauan pohon-pohon yang berusia, besar dan tinggi. Ia memberikan pencinta flora dan fauna peluang untuk melarikan diri daripada kesibukan kehidupan harian untuk berehat dan beriadah bersama keluarga atau bersama yang tercinta. 

Terdapat beberapa kemudahan awam yang terdapat di Taman Tasik iaitu beberapa pondok kecik berbentuk heksagon untuk pelawat berehat. Beberapa kepala paip yang mengeluarkan air bersih terdapat di sekitar taman tersebut. Laluan berjalan dilengkapi dengan pemukaan tar untuk keselesaan dan terdapat laluan batu-batu kecil bagi kegunaan mengurut tapak kaki membantu pengaliran darah lebih lancar dan melegakan kesan letih pada kaki. Di puncak bukit, terdapat Pondok Besar berfungsi seperti dewan untuk melakukan aktiviti-aktiviti beramai-ramai. Pondok tersebut dapat menampung sebanyak lebih kurang 50 orang. Bersebelahan Pondok Besar, berdirinya sebuah Jam Menara yang dibuat daripada kayu-kayu. Manakala dikaki bukit taman terdapat Podium atau stage disediakan untuk melakukan apa-apa aktiviti atau persembahan. Terdapat soket-soket elektrik juga disediakan untuk kemudahan memasang peralatan elektrik. Di tengah-tengah taman terdapat sebuah tasik yang besar dan ditengah-tengah tasik itu terdapat laluan titi kayu dan pulau yang kecil dilengkapi dengan penghadang berupa kayu. Terdapat banyak ikan-ikan Koi di dalam kolam dan pelawat dibenarkan memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut dengan makanan ikan yang disediakan dan dijual dengan harga RM0.50 sebungkus. Terdapat tandas awam disediakan dengan caj sebanyak RM0.20 seorang. 

tamantasik1 

Taman Tasik sering dipenuhi dengan mereka yang ingin bersenam di waktu pagi manakala di waktu petang dipenuhi dengan pengunjung yang ingin bersenam dan beriadah. Pada waktu pagi, terdapat warga-warga emas akan bersenam "Tai Chi" beramai-ramai di atas puncak bukit (Pondok Besar) di ikuti dengan yoga seterusnya dalam pukul 6 pagi hingga 8 pagi. Taman Tasik adalah tempat yang sesuai membawa keluarga atau pasangan untuk berehat dan menghabiskan masa bersama-sama. Tambahan, Taman Tasik amat terkenal dengan lokasi mengambil gambar-gambar kahwin atau pemandangan. 

 Jika anda sukakan makan malam dalam suasana yang baik dan bersebelahan dengan tasik, Taman Tasik mempunyai gerai-gerai penjaja yang kecil menyediakan masakan Melayu dan Cina. Gerai Melayu disana telah beroperasi dari dahulu lagi dan menyediakan masakan goreng-goreng seperti Mee Hoon, Kuew Tiau, Mee Goreng dan lain-lain yang sedap. 

Taman Tasik mungkin mempunyai nama-nama yang menarik dan modern seperti "Lake Park" tetapi untuk warga tempatan, ia nya lebih dikenali sebagai "Cui Ton Park" (Taman Tangki Air dalam Hokkien).