SEJARAH3

ASAL USUL NAMA "SARIKEI"

Terdapat pelbagai versi cerita yang telah disampaikan oleh  orang-orang tua di Daerah Sarikei mengenai asal usul nama Sarikei diperolehi. Antaranya adalah:.

CERITA RAKYAT 1

Nama Sarikei diberikan oleh Kaum Sigalang iaitu kaum pertama yang menghuni daerah Sarikei pada waktu itu. Difahamkan bahawa Kaum Sigalang telah menghuni Sarikei kira-kira 300 tahun dahulu. Pada masa itu Sarikei dikelilingi dengan hutan rimba dan hanya ada perkampungan kecil di sepanjang Sungai Sarikei dan Sungai Nyelong yang mengalir terus ke Sungai Rajang. Kaum Segalang dikatakan bertapak dan menghuni serta membuka kawasan sekitar Bukit Temujang. Dikatakan Kaum Segalang ini amat mahir di dalam pertukangan rumah dan mereka juga merupakan petani yang pintar bercucuk tanam dan memburu binatang. Dipanggil kaum Sigalang bersempena dengan nama ketua kaum ini iaitu Sigalang. Sigalang dikatakan sebagai seorang ketua yang adil dan begitu mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak buahnya. Sigalang mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Bujang dan dikatakan Bukit Temujang mengambil nama anak Sigalang iaitu Bujang. Bujang juga dikatakan sebagai seorang pemuda yang arif dengan soal-soal hutan seperti memburu dan mempunyai rupa paras yang tampan. Beliau telah dikahwinkan ayahnya Sigalang dengan seorang gadis yang tercantik di dalam kaum Sigalang sendiri iaitu Sareke. Jadi nama Sarikei diambil daripada nama isteri Bujang yang cantik rupawan iaitu Sareke.

CERITA RAKYAT 2

Sarikei suatu masa dahulu terkenal dengan pusat penjualan ayam samada ayam kampung dan juga ayam sabung iaitu ayam yang digunakan di dalam satu pertandingan yang amat popular di kalangan penduduk tempatan suatu masa dahulu. Penjual-penjual ayam di daerah kecil ini kebanyakan terdiri daripada masyarakat Cina. Jadi perkataan “Sa-rie” mengikut dialek tempatan cina adalah pusat dan “kei” adalah ayam. Jadi lama-kelamaan apabila digabungkan dengan pelat penduduk tempatan maka timbullah perkataan Sarikei iaitu 2 perkataan digabungkan menjadi satu.

CERITA RAKYAT 3

Suatu waktu dahulu, Sarikei sentiasa disinggahi oleh saudagar-saudagar yang di dalam perjalanan berdagang di antara Sarawak dan Brunei. Selalunya kapal-kapal saudagar ini akan sampai lewat malam dan setiap kali hendak masuk ke muara Sungai Sarikei sudah tentu mereka akan terpegun melihat cahaya dari kelip-kelip yang menghuni pokok api-api di sepanjang sungai ini. . Dan setiap kali itulah saudagar-saudagar ini akan mengangkat pengayoh dan membiarkan kapal atau perahu mereka bergerak mengikut aliran sungai. Inilah keistimewaan muara Sarikei yang jarang terdapat di mana-mana tempat di Sarawak suatu waktu dahulu. 

SEJARAH SARIKEI

Sejarah awal Sarikei dapat dikesan seawal kurun ke-19. Catatan sejarah menunjukkan James Brooke pernah mengunjungi Sarikei pada 30 April 1845.

Penentangan terhadap James Brooke membawa kepada peristiwa pembakaran Sarikei pada 4 Januari 1856 dan tindakan balas oleh Charles Brooke ke atas Julau pada 19 Jun 1856.

Bahagian Sarikei ditubuhkan pada 2 April 1973 sebagai bahagian ke-6 dalam negeri Sarawak melalui Sarawak Gazette Swk. L.N 26 bertarikh 15 Mac 1973. Bahagian Sarikei pada awal penubuhannnya mempunyai keluasan 6969 km². Ianya merupakan gabungan daerah-daerah Sarikei, Meradong, Julau , Matu dan Daro.

Selepas pembentukan Bahagian Mukah dan Bahagian Betong, Bahagian Sarikei mengalami kesan secara langsung terutama dari segi luas kawasan. Keseluruhan jumlah kawasan terkini di bawah Bahagian Sarikei adalah 4332.35 km² yang merupakan 1.31 % daripada jumlah keseluruhan negeri Sarawak iaitu 124,449 km². Bahagian Sarikei merupakan bahagian yang kedua terkecil selepas bahagian Betong (4,180 km² atau 1.27% daripada keluasan negeri Sarawak). Pusat pentadbiran dan komersil adalah Bandar Sarikei yang juga dikenali dengan nama Bandar Nanas.

Penubuhan Bahagian Sarikei adalah didorong oleh faktor-faktor keselamatan berikutan pemberontakan komunis pada masa itu. Dengan penubuhan Bahagian Sarikei, aspek kawalan keselamatan dapat difokuskan dan memudahkan urusan pemantauan ke kawasan terbabit.

SEJARAH2

SEJARAH KAMPUNG SEBERANG SARIKEI

Kampung Seberang Sarikei merupakan penempatan semula penduduk kampung lama dibuka awal tahun 1970an dan penduduk yang tidak mempunyai tapak untuk rumah.

Penempatan semula dilakukan kerana tapak rumah di kampung lama dijadikan tapak rumah kedai dan pembangunan infrastruktur yang lain.

Kampung ini terdiri daripada rangkaian kampung kecil seperti Rentap, Allamanda, Bunga Raya, Bunga Melor, Cempaka, Rambai dan Ixora.

Majoriti penduduk Melayu/Melanau dengan sebilangan kecil Cina Islam dan Iban Islam.

Sebilangan besar penduduk bekerja di jabatan kerajaan. Sejumlah kecil dengan pihak swasta, nelayan, petani serta sektor perkilangan, binaan dan sendiri.

Suasana harmonis dan sejahtera adalah aset utama kampung ini menjadi rujukan atau tempat menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan, sosial, riadah dan sukan.